Rasulullah SAW, dengan
sahabat-sahabatnya Abu Bakar r.a., Umar r.a., Usman r.a., dan 'Ali r.a.,
berada di rumah Sayyidina Ali r.a. Di rumah Ali r.a. isterinya
Sayyidatina Fatimah r.ha. puteri Rasulullah SAW menghidangkan untuk
mereka madu yang diletakkan di dalam sebuah mangkuk yang cantik, dan
ketika semangkuk madu itu dihidangkan sehelai rambut berada di dalam
mangkuk itu. Baginda Rasulullah SAW kemudian meminta semua sahabatnya
untuk membuat suatu perbandingan terhadap ketiga benda tersebut (Mangkuk
yang cantik, madu, dan sehelai rambut).
Sayyidina Abu Bakar r.a.
berkata: "Iman itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang
beriman itu lebih manis dari madu, dan mempertahankan iman itu lebih
susah dari meniti di atas sehelai rambut".
Sayyidina Umar r.a. berkata:
"Kerajaan itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, seorang raja
itu lebih manis dari madu, dan memerintah dengan adil itu lebih sulit
dari meniti di atas sehelai rambut".
Sayyidina Usman r.a. berkata:
"Ilmu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang menuntut
ilmu itu lebih manis dari madu, dan ber'amal dengan ilmu yang dimiliki
itu lebih sulit dari meniti di atas sehelai rambut".
Sayyidina 'Ali r.a. berkata:
"Tetamu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, menjamu tetamu
itu lebih manis dari madu, dan membuat tetamu senang sampai kembali
pulang ke rumanya adalah lebih sulit dari meniti di atas sehelai
rambut".
Sayyidina Fatimah
r.ha.berkata: "Seorang wanita itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang
cantik, wanita yang berpurdah itu lebih manis dari madu, dan mendapatkan
seorang wanita yang tak pernah dilihat orang lain kecuali muhrimnya
lebih sulit dari meniti di atas sehelai rambut".
Rasulullah SAW berkata:
"Seorang yang mendapat taufiq untuk ber'amal adalah lebih cantik dari
mangkuk yang cantik ini, ber'amal dengan 'amal yang baik itu lebih manis
dari madu, dan berbuat 'amal dengan ikhlas adalah lebih sulit dari
meniti di atas sehelai rambut".
Malaikat Jibril AS berkata:
"Menegakkan ciri-ciri agama itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang
cantik, menyerahkan diri, harta dan waktu untuk usaha agama lebih manis
dari madu, dan mempertahankan usaha agama sampai akhir hayat lebih sulit
dari meniti di atas sehelai rambut".
Allah SWT berfirman, "
Syurga-Ku itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik itu, nikmat
Syurga-Ku itu lebih manis dari madu, dan jalan menuju Syurga-Ku adalah
lebih sulit dari meniti sehelai rambut".
Begitulah ucapan-ucapan yang
diutarakan oleh Allah taala, Malaikat Jibril alaihissalam, Nabi Muhammad
SAW dan para Sahabat r.anhum yang menggambarkan bahawa matlamat hidup
seseorang ciptaan Allah taala, khususnya manusia adalah semata-mata
penghujungnya untuk menegakkan Agama Islam di atas bumi ini.
0 comments:
Post a Comment